Jumaat, 11 March 2016 | 8:24am

Kerajaan Brazil serah RM11j untuk penyelidikan Zika

Menteri Kesihatan Brazil, Marcelo Castro.
Menteri Kesihatan Brazil, Marcelo Castro.

RIO DE JANEIRO: Menteri Kesihatan Brazil berkata, institut penyelidikan bioperubatan terkemuka negara itu mendapat peruntukan AS$2.8 juta (RM11 juta) bagi membiayai kajian bertujuan memerangi virus Zika.

Menteri Kesihatan, Marcelo Castro, berkata lebih AS$1 juta (RM4.11 juta) akan digunakan untuk membantu menampung kajian mencari vaksin bagi virus berkenaan, yang dipercayai penyelidik Brazil ada kaitan dengan pertambahan kes mikrosefali, kecacatan kelahiran yang menjejaskan tengkorak dan otak bayi.

Baki pembiayaan akan digunakan dalam penyelidikan mengenai Zika dan mikrosefali dikendalikan bersama oleh institut penyelidikan Fiocruz dan Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Castro membuat pengumuman itu ketika lawatan ke ibu pejabat Fiocruz di Rio de Janeiro.

Sementara itu, Presiden Brazil, Dilma Roussef juga berada di Fiocruz untuk bertemu dengan pegawai tetapi meninggalkan acara tanpa bercakap dengan wartawan. - AP

Berita Harian X