Jumaat, 3 Jun 2016 | 8:52am

PBB senarai hitam negara pasukan antarabangsa serang Yaman

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, memasukkan pasukan tentera antarabangsa diketuai Arab Saudi yang menyokong kerajaan Yaman dalam senarai hitam berhubung kematian ratusan kanak-kanak dalam serangan udara.

Pemberontak Houthi yang merampas ibu kota Yaman, Sanaa, pada September 2014 juga dimasukkan ke dalam senarai pencabul hak kanak-kanak yang disiarkan hari ini, memberi butiran lanjut mengenai kesalahan di 14 negara.

"Krisis yang berlaku dan semakin memuncak memberi impak buruk kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan.

"Keadaan di Yaman amat membimbangkan dengan peningkatan lima kali ganda bilangan kanak-kanak yang direkrut oleh kumpulan bersenjata dan jumlah kanak-kanak yang maut dan cacat bertambah enam kali ganda berbanding 2014," menurut kenyataan itu.

Pasukan antarabangsa diketuai Arab Saudi bertanggungjawab di atas 60 peratus daripada 785 kanak-kanak yang terbunuh dan 1,168 yang cedera tahun lalu di Yaman.

Ia melancarkan kempen udara untuk mengusir Houthi pada Mac 2015 tetapi pemberontak masih mengawal Sanaa dan kebanyakan kawasan di negara itu.

"Di Yaman, dua pihak yang melakukan pelanggaran hak iaitu Houthi/Ansar Allah dan pasukan pakatan diketuai Arab Saudi, yang tersenarai kerana pembunuhan dan menyebabkan kecacatan serta serangan ke atas sekolah dan hospital," menurut laporan. - AFP

Berita Harian X