Khamis, 9 Jun 2016 | 11:24pm
Tentera Habsyah.
Tentera Habsyah.

Tentera Habsyah bunuh 101 militan Shabaab di Somalia

MOGADISHU: Habsyah menyatakan tenteranya yang dihantar ke Somalia membunuh 101 pejuang al-Shabaab hari ini yang menyerang sebuah pangkalan tentera digunakan tentera Kesatuan Afrika (AU) menentang kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda itu.

Pergerakan al-Shabaab sebelum itu mengumumkan serangan besar-besaran ke atas pangkalan tentera di Halgan, di wilayah tengah Hiran , menerusi Telegram miliknya.

Jurucakap kerajaan Habsyah, Getachew Reda menolak dakwaan al-Shabaab mereka membunuh puluhan anggota tentera dan hanya kehilangan 16 pejuang.

"Ada cubaan al-Shabaab menyerang tentera kami di tengah Somalia, namun pasukan kami membunuh 101 militan dan memusnahkan senjata berat.

"Kami masih menilai berapa ramai anggota yang cedera di pihak kami namun dakwaan militan membunuh 43 askar Habsyah adalah penipuan. Ia hanyalah khayalan mereka saja," kata Getachew.

Menerusi Telegram, al-Shabaab mendakwa menyerbu pangkalan tentera dan membunuh ramai penduduk Habsyah dan menyatakan 60 askar maut. -AFP

Berita Harian X