Khamis, 16 Jun 2016 | 11:21am

India kesan polio, rancang pelalian

GAMBAR fail diambil pada Febuari 2015, seorang petugas kesihatan India memberi ubat vaksin polio kepada bayi yang baru lahir di sebuah hospital kerajaan di Agartala, ibu negeri timur laut Tripura, India. - Foto AFP
GAMBAR fail diambil pada Febuari 2015, seorang petugas kesihatan India memberi ubat vaksin polio kepada bayi yang baru lahir di sebuah hospital kerajaan di Agartala, ibu negeri timur laut Tripura, India. - Foto AFP

NEW DELHI: India merancang untuk segera memberi pelalian kepada kira-kira 300,000 kanak-kanak bagi membasmi virus polio selepas jenis yang mudah merebak itu dikesan dalam kumbahan di bandaraya Hyderabad.

India diisytihar bebas polio oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Mac 2014 selepas usaha hampir dua dekad membabitkan jutaan dolar, disifatkan sebagai antara negara yang mencatatkan pencapaian kesihatan umum terbesar kebelakangan ini.

Kenyataan Kementerian Kesihatan mengesahkan laporan media bahawa jenis virus itu ditemui dalam sampel kumbahan yang diambil berhampiran Stesen Kereta Api Secunderabad, tetapi tiada kanak-kanak di kawasan itu didapati terjejas.

"India berterusan bebas polio kerana negara itu sudah menghapuskan virus penyakit itu dan kes terakhir dilihat pada 13 Januari 2011 dan ia lebih lima tahun virus polio liar dikesan," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan, tinjauan baru-baru ini di kawasan itu mendapati 94 peratus kanak-kanak menerima sekurang-kurangnya tiga dos vaksin oral polio dan kemungkinan tinggi tiada pemindahan.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, usaha pelalian khas akan diadakan pada 20 Jun ini di daerah berisiko tinggi di Hyderabad dan Rangareddy, menyasarkan 300,000 kanak-kanak antara usia enam minggu dan tiga tahun.

Pondok vaksin akan didirikan dan ibu bapa digalakkan membenarkan anak mereka disuntik dengan Vaksin Tidak Mengaktifkan Polio yang memberikan perlindungan tambahan terhadap semua jenis polio. - Reuters

Berita Harian X