Jumaat, 17 Jun 2016 | 12:26am

Lebih 30 ikan paus terdampar di Indonesia

gn4id:14285010

PROBOLINGGO: Lebih 30 ikan paus terdampar di pesisir Pulau Jawa, Indonesia dengan 10 daripada haiwan itu dilaporkan sudah mati, menurut seorang pegawai, hari ini.

Menurut Ketua Pengurusan Perikanan dan Maritim tempatan, Wahid Noor Azis, satu operasi menyelamat besar-besaran berjaya menarik kebanyakan mamalia terdampar itu ke laut dalam.

Wahid berkata, ikan paus terbabit terdampar sendiri ketika air pasang di pantai sebuah kampung di daerah Probolinggo di Jawa Timur, semalam.

Difahamkan antara 32 hingga 35 ikan paus terdampar itu mungkin ikan paus sirip pendek yang tinggal di perairan tropika dan sub tropika.

Berpuluh-puluh penduduk tempatan mengguna dua bot untuk menarik dua mamalia terdampar terakhir yang masih hidup ke laut.

Wahid berkata, Agensi Pemeliharaan dan Sumber Asli wilayah akan menjalankan bedah siasat terhadap 10 bangkai ikan paus itu untuk menentukan punca mereka terdampar.

Penduduk tempatan kemudian akan menanam bangkai haiwan terbabit selepas bedah siasat. - AP

Berita Harian X