Sabtu, 25 Jun 2016 | 10:14am

Erdogan jumpa pemimpin Hamas

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) dan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal. - Foto EPA
PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan (kanan) dan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal. - Foto EPA

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, mengadakan pertemuan dengan Hamas bagi rundingan tidak dijadualkan berikutan laporan Ankara semakin hampir bersetuju dengan perjanjian memulihkan hubungan dengan Israel.

Erdogan menerima kunjungan pemimpin Hamas, Khaled Meshaal, di Istana Yildiz di Istanbul, lapor agensi berita rasmi Anadolu, memetik sumber presiden.

Laporan media Turki menyatakan Israel dan Turki mengadakan rundingan akhir untuk memulihkan semula hubungan pada Ahad tetapi masih belum disahkan.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, pada Khamis berkata 'ada kemungkinan besar' rundingan diadakan hujung bulan ini.

Anadolu melaporkan, Erdogan dan Meshaal berbincang cara mengurangkan masalah kemanusiaan di Palestin dan bagaimana merapatkan jurang antara Hamas dan Fatah.

Laporan itu tidak membuat sebarang rujukan kepada rundingan dengan Israel.

Hubungan kedua-dua negara sebelum ini tegang selepas komando Israel melancarkan serbuan ke atas enam kapal pada Mei 2010 ketika cuba melanggar kepungan di Gaza.

Dua syarat utama Turki untuk usaha memulihkan semula hubungan iaitu permohonan maaf dan bayaran pampasan, sudah dibuat, meninggalkan tuntutan ketiga supaya Israel menamatkan kepungan di Gaza, sebagai halangan utama. - AFP

Berita Harian X