Sabtu, 2 Julai 2016 | 12:27am

Pesawat bomba Russia, 10 kru hilang di Siberia

PESAWAT perkhidmatan kecemasan Il-76. - Foto AFP
PESAWAT perkhidmatan kecemasan Il-76. - Foto AFP

MOSCOW: Sebuah pesawat bomba Russia bersama 10 orang di dalamnya dilaporkan hilang hari ini ketika ia berusaha memadam kebakaran hutan di Siberia, kata pihak berkuasa.

Kementerian Perkhidmatan Kecemasan dalam kenyataan menyebut, pihaknya gagal berhubung dengan pesawat Il-76.

"Hari ini jam 0630 (0330 GMT), sebuah pesawat perkhidmatan kecemasan Il-76 gagal dihubungi," kata kenyataan itu sambil menambah ia terbang bersama 10 kru di dalamnya.

Kenyataan itu berkata, pasukan mencari dan menyelamat termasuk lima pesawat dan dua helikopter dikerah ke kawasan kejadian dan 100 anggota bersiap sedia untuk diterbangkan keluar dari ibu kota ini.

Agensi berita TASS melaporkan, kapal terbang itu berlepas jam 2.30 pagi waktu tempatan dan terbang pada ketinggian 3,000 meter di wilayah Irkutsk apabila ia terputus hubungan.

Sumber perkhidmatan kecemasan memberitahu TASS, pesawat itu hilang di "kawasan yang sukar untuk diakses, berikutan asap tebal akibat kebakaran hutan."

Russia berdepan kebakaran hutan besar setiap tahun dan pihak berkuasa berkata, kira-kira 3,300 anggota bomba kini berusaha memadam api di kawasan seluas 39,000 hektar di seluruh negara itu. -AFP

Berita Harian X