Ahad, 3 Julai 2016 | 9:48am

Netanyahu lulus 40 penempatan baharu di Tebing Barat

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap pada majlis menandakan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) di kediaman Duta Besar AS ke Israel di Herzliya, di Tel Aviv pada 30 Jun lalu. - Foto AFP
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap pada majlis menandakan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) di kediaman Duta Besar AS ke Israel di Herzliya, di Tel Aviv pada 30 Jun lalu. - Foto AFP

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan pembinaan lebih 40 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, walaupun masyarakat antarabangsa menggesa menghentikan kegiatan haram itu.

Semalam, Netanyahu membuka semula tender bagi pembinaan di penempatan Kiryat Arba yang terletak di bandar Tebing Barat selatan al-Khalil (Hebron).

Kontrak itu dihentikan selama setahun setengah selepas kontraktor enggan mengambil bahagian.

Jumaat lalu, Netanyahu menolak laporan Middle East Quartet yang menjadi orang tengah proses damai konflik Israel-Palestin yang secara langsung menggesa rejim Tel Aviv untuk menghentikan aktiviti memperluaskan penempatannya di wilayah Palestin yang diduduki.

"Israel perlu menghentikan dasar pembinaan penempatan dan perluasan, menetapkan tanah untuk kegunaan eksklusif Israel, dan menafikan pembangunan Palestin," menurut laporan yang dikeluarkan Quartet.

Lebih daripada setengah juta warga Israel tinggal di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak 1967, pendudukan Israel di wilayah Palestin di Tebing Barat dan Timur al-Quds. - Agensi

Berita Harian X