Sabtu, 6 Ogos 2016 | 8:47am
PETUGAS kesihatan menggunakan pikap bagi melakukan semburan untuk mencegah penyebaran virus zika di kejiranan San Juan, Puerto Rico, Januari lalu. - Foto fail Reuters
PETUGAS kesihatan menggunakan pikap bagi melakukan semburan untuk mencegah penyebaran virus zika di kejiranan San Juan, Puerto Rico, Januari lalu. - Foto fail Reuters

Seorang lagi dijangkiti Zika mati di Puerto Rico

SAN JUAN: Pegawai kesihatan mengumumkan seorang warga emas yang dijangkiti Zika meninggal dunia di Puerto Rico ketika wilayah Amerika Syarikat itu bergelut menangani apa yang disifatkan pihak berkuasa persekutuan sebagai wabak senyap.

Mangsa adalah lelaki berusia 75 tahun yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia akibat masalah kesihatan yang tidak berkaitan Zika, menurut Setiausaha Kesihatan, Ana Rius.

Beliau berkata, tiada butiran lanjut akan diberikan.

Pegawai Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat berkata, mereka akan memberikan kenyataan tidak lama lagi.

Kematian pertama berkaitan Zika dilaporkan lewat April lalu dan membabitkan lelaki berusia 70 tahun dari wilayah San Juan.

Beliau mengalami pendarahan dalaman selepas menghadapi masalah apabila antibodi yang membentuk tindak balas terhadap jangkitan Zika mula menyerang sel platelet darah.

Ketika itu, Rius berkata ada tiga lagi kes dikenali sebagai thrombocytopenia teruk tetapi pesakit terbabit sembuh.

Puerto Rico mencatatkan 8,776 kes Zika, dengan 1,480 kes baharu dilaporkan minggu lalu.

Kini ada 901 wanita hamil dijangkiti Zika yang dikaitkan dengan kecacatan kelahiran. - AP

Berita Harian X