Sabtu, 6 Ogos 2016 | 11:32pm

Tisu tandas punca kebakaran hutan di Sepanyol

KEADAAN kebakaran hutan di La Palma, Pulau Canary. - Foto AFP
KEADAAN kebakaran hutan di La Palma, Pulau Canary. - Foto AFP

MADRID: Satu kebakaran hutan bermula apabila seorang lelaki Jerman membakar kertas tandas digunakannya di La Palma, Pulau Canary, kata pihak berkuasa Sepanyol.

Pemangku Menteri Pertanian dan Alam Sekitar Sepanyol, Isabel Garcia Tejerina, memberitahu radio COP bahawa kebakaran empat hari menyebabkan antara 3,000 hingga 4,000 hektar hutan terbakar, meningkat berbanding 2,000 hektar yang musnah semalam.

Kebakaran itu meragut nyawa seorang pekerja perhutanan Khamis lalu dan menyebabkan pemindahan 2,500 penduduk dari tiga bandar di pulau gunung berapi terletak di pantai barat laut Afrika.

Seorang rakyat Jerman berusia 27 tahun membuat pengakuan kepada polis semalam, dia memulakan kebakaran secara tidak sengaja dengan membakar tisu tandas kotor.

Empat pesawat dan lapan helikopter membawa air membantu lebih 350 anggota bomba yang mengawal kebakaran di darat.

Kementerian itu berkata, suhu tinggi, keadaan hutan padat dan kawasan berbatu "menyukarkan usaha memadam kebakaran." -AP

Berita Harian X