Jumaat, 19 Ogos 2016 | 12:42pm
KUMPULAN aktivis kemanusiaan mengadakan tunjuk perasaan menentang kezaliman kes pembunuhan bermaruah di Pakistan. - Foto www.dw.com
KUMPULAN aktivis kemanusiaan mengadakan tunjuk perasaan menentang kezaliman kes pembunuhan bermaruah di Pakistan. - Foto www.dw.com

Lelaki kelar isteri baru, dakwa bunuh demi maruah

KARACHI: Seorang lelaki Pakistan membunuh isteri keduanya dengan menikam berulang kali sebelum mengelar leher wanita itu dengan pisau, terbaru dalam kes pembunuhan bermaruah di negara itu.

Tragedi berlaku 14 tahun selepas beliau membunuh isteri pertamanya, juga atas alasan sama.

Rahim Daad membunuh Farzana, 35, di rumah mereka di Karachi awal semalam, kata polis. Daad ditahan dan pisau dirampas daripadanya.

Dia dilaporkan menikam Farzana berulang kali, sebelum mengelar leher mangsa, lapor akhbar Dawn, memetik kenyataan pegawai kanan polis.

Ketika soal siasat, Daad mengaku membunuh Farzana demi maruah. Pasangan itu bergaduh berhubung beberapa isu dan Farzana mahu meninggalkan rumah itu dan suaminya.

Dalam pergaduhan, Daad mengambil pisau dan membunuh Farzana.

Suspek membunuh isteri pertamanya, ibu kepada tiga anak, kerana mendakwa mangsa turut memalukan keluarga.

Di Pakistan, ramai mangsa pembunuhan bermaruah ialah wanita, dengan ratusan dibunuh setiap tahun. - AGENSI

Berita Harian X