Jumaat, 26 Ogos 2016 | 11:31am
PEKARANGAN Lapangan Terbang Raja Saud di Al-Baha.
PEKARANGAN Lapangan Terbang Raja Saud di Al-Baha.

Pesawat Sudan mendarat cemas di Riyadh

RIYADH: Sebuah penerbangan milik Sudan yang menuju ke Khartoum memohon kebenaran untuk mendarat cemas di Lapangan Terbang Raja Saud di Al-Baha semalam.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Awam (SPA), sebaik Pesawat Antonov 12 buatan Russia itu berlepas dari Lapangan Terbang Khamis Mushayt di selatan wilayah Asir, ia mengesan masalah teknikal pada enjin keempat.

Pesawat yang membawa 10 penumpang dan anak kapal itu selamat melakukan pendaratan cemas pada jam 4 petang.

Bagaimanapun, salah satu tayarnya pecah semasa mendarat, menyebabkan pesawat terkandas di landasan.

Akibatnya kawalan trafik udara di lapangan terbang itu terganggu selama beberapa jam.

Beberapa penerbangan termasuk Saudi Arabia Airlines SV1715 terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah selain beberapa lagi penerbangan tertangguh.

Lapangan terbang dibuka semula pada jam 7.51 malam selepas pasukan teknikal yang memeriksa landasan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi. - Agensi

Berita Harian X