X
Sabtu, 27 Ogos 2016 | 10:57am

Pemimpin PVV lancar manifesto tutup masjid, haramkan al-Quran

AMSTERDAM: Pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang berhaluan kanan di Belanda, Geert Wilders, melancarkan manifesto baru yang menggesa negara itu 'tidak di-Islamkan' ketika beliau mendahului tinjauan untuk menjadi Perdana Menteri baru Belanda.

Bertajuk 'Belanda milik kita lagi,' Wilders menyiarkan manifesto satu muka surat dengan 11 agenda pada Khamis, menonjolkan pendirian tegas parti itu terhadap Islam.

PEMIMPIN Parti Kebebasan (PVV) yang berhaluan kanan di Belanda, Geert Wilders. - Foto Reuters
PEMIMPIN Parti Kebebasan (PVV) yang berhaluan kanan di Belanda, Geert Wilders. - Foto Reuters

Dokumen berkenaan, yang disiarkan menjelang pilihan raya umum Mac ini, menggesa penutupan semua masjid dan sekolah Islam, mengharamkan al-Quran dan 'tiada lagi pendatang dari negara Islam.'

Larangan bertudung di khalayak umum juga dicadangkan, selain larangan menunjukkan lambang Islam yang melanggar peraturan awam.

Semua langkah itu akan menyelamatkan menjimatkan kos negara itu sebanyak AS$8 bilion (RM32 bilion), dakwanya.

"PVV memerang Islam, mahu menutup sempadan Kesatuan Eropah dan semua bilion yang kita selamatkan akan diberikan balik kepada rakyat.

"Mesej saya kepada negara ini: Belanda mesti menjadi milik kita sekali lagi," katanya dalam kenyataan.

Ia juga menyasarkan Kesatuan Eropah dengan ia berjanji mengadakan pungutan suara ke atas keanggotaan negara itu dalam blok berkenaan.

Bagaimanapun, rancangan Wilders itu disifatkan 'amat pelik dan sukar dipercayai' oleh pemimpin Kristian Demokratik, Sybrand van Haersma Buma.

"Program itu akan memecah belahkan masyarakat Belanda," katanya.

Wilders, yang dua kali dihadapkan di mahkamah kerana mencetuskan kebencian pada 2011 dan Mac 2016, akan muncul parti terbesar berikutan pilihan raya Mac ini, jika tinjauan pendapat itu diguna pakai. - AGENSI

Berita Harian X