Khamis, 22 September 2016 | 8:12pm

Angka maut banjir di Indonesia meningkat 26

 BANYAK rumah musnah di Garut , Barat Jawa. -Foto REUTERS
BANYAK rumah musnah di Garut , Barat Jawa. -Foto REUTERS

JAKARTA: Angka kematian akibat banjir dan tanah runtuh di Indonesia meningkat kepada 26, kata pegawai semalam, dengan harapan semakin pudar menemui mangsa yang masih hilang.

Bantuan mula tiba di Garut , Barat Jawa yang menyaksikan 23 maut dan 18 masih hilang selepas hujan lebat dan banjir kilat melanda wilayah itu, kata agensi bencana kebangsaan.

Banjir yang semakin surut mendedahkan kemusnahan, dengan rumah ranap dan kereta terbalik serta serpihan berselerak di atas jalan raya berlumpur.

Antara yang terkorban atau hilang ialah lebih 12 kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, walaupun beberapa daripada mereka belum dikenal pasti secara rasmi.

Pasukan bantuan dan anggota tentera dikerah ke Garut untuk mencari mangsa yang masih hilang, manakala dron menilai skala kemusnahan dari udara, kata ketua agensi berkenaan, Willem Rampangilei, dalam kenyataan.

"Banyak makanan dan air bersih tersedia. Komuniti turut membantu," katanya, menambah laporan bencana sudah dihantar kepada Presiden Joko 'Jokowi' Widodo.

Pusat perlindungan dan dapur sementara didirikan untuk membantu anggaran 430 penduduk yang kehilangan kediaman, dengan selimut dan pakaian dibawa masuk oleh kru kecemasan.

Sementara di beberapa tempat lain di Jawa barat, kru kecemasan masih mencari mangsa yang hilang berikutan tanah runtuh di daerah Sumedang yang mengorbankan tiga orang, kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

Runtuhan lumpur, batu dan air memusnahkan kampung di Sumedang lewat Selasa lalu tanpa amaran, meruntuhkan rumah dan masjid dan menimbus penduduk.

Tanah runtuh dan banjir biasa berlaku di Indonesia, yang terdedah kepada bencana dan hujan lebat.

Agensi bencana negara itu memberi amaran kepada penduduk supaya berjaga-jaga ketika musim hujan apabila fenomena cuaca La Nina menyebabkan hujan lebat tanpa mengira musim. - AGENSI

Berita Harian X