X
Khamis, 29 September 2016 | 7:34am

Remaja lelaki tembak mati bapa, cederakan tiga orang

PASUKAN penyiasat di lokasi kejadian tembakan di Sekolah Rendah Townville di wilayah Anderson. - Foto AP
PASUKAN penyiasat di lokasi kejadian tembakan di Sekolah Rendah Townville di wilayah Anderson. - Foto AP

CHARLESTON, S.C.: Seorang remaja lelaki menembak mati bapanya dan kemudiannya memandu pikap trak ke sebuah sekolah rendah di South Carolina serta melepaskan tembakan dengan pistol menyebabkan dua kanak-kanak dan seorang guru cedera pada Rabu, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa berkata, ahli bomba sukarela, Jamie Brock berjaya menahan suspek di padang permainan di belakang Sekolah Rendah Townville di wilayah Anderson sehingga polis tiba di tempat kejadian sambil membolehkan guru membawa masuk pelajar ke dalam bangunan.

Suspek tidak memasuki sekolah itu yang terletak dekat negeri Georgia kira-kira 160 kilometer timur laut Atlanta.

"Beliau (Brock) memperjudikan nyawanya untuk mengurangkan risiko insiden ini. Beliau gunakan kekerasan bagi menahan suspek," kata Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Wilayah Anderson, Taylor Jones.

Sekolah di Amerika Syarikat mengambil langkah tambahan berkaitan perlindungan keselamatan sejak 2012 apabila seorang lelaki bersenjata menembak mati 20 pelajar dan enam guru di Sekolah Rendah Sandy Hook di Newtown, Connecticut.

Sehubungan itu, Pengarah Perkhidmatan Kecemasan Wilayah Anderson, Scott Stoller berkata, insiden pada Rabu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dalam keadaan kritikal dan menjalani pembedahan.

Jurucakap Pusat Perubatan Kesihatan AnMed, Juana Slade berkata, seorang lagi kanak-kanak lelaki dan guru wanita pula dalam keadaan baik.

Terdahulu, suspek menembak bapanya berusia 47 tahun, Jeffrey DeWitt Osborne, di bahagian dada dan memandu pikap trak kira-kira 3.2 kilometer ke sekolah terbabit serta kemudiannya merempuh pagar di kawasan taman permainan dengan kenderaan berkenaan. Nama remaja itu itu didedahkan.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki ditembak di kaki dan seorang lagi di jari kaki. Guru wanita pula ditembak di bahagian bahu. - Reuters

Berita Harian X