Sabtu, 15 Oktober 2016 | 10:19am

Ahli politik Belanda dituduh cetus kebencian kaum

Ahli politik anti-Islam Belanda, Geert Wilders. - Foto REUTERS
Ahli politik anti-Islam Belanda, Geert Wilders. - Foto REUTERS

AMSTERDAM: Mahkamah di The Hague memutuskan untuk membicarakan ahli politik anti-Islam Belanda, Geert Wilders, atas dakwaan mencetuskan kebencian kaum.

Hakim Hendrik Steenhuis menolak hujah peguam Wilders bahawa beliau dijadikan sasaran.

Beliau berkata pendakwa mempunyai ruang luas dalam menentukan apabila berasa seseorang sudah melanggar batasan daripada ucapan berbentuk perkauman kepada ucapan diskriminasi.

Wilders dituduh mencetuskan diskriminasi dan kebencian kerana kenyataan pada 2014 yang disiarkan secara langsung, menyaksikan beliau mengetuai pengikutnya melaungkan mereka mahukan "kurang" penduduk berketurunan Maghribi di Belanda.

Steenhuis menetapkan permulaan tarikh bagi perbicaraan tiga minggu ini pada 31 Oktober, bermakna keputusan mungkin dikeluarkan pada Disember, menjelang pilihan raya umum pada Mac.

Parti Freedom berhaluan kanan pimpinan Wilders terikat dengan Parti VVD pimpinan Perdana Menteri Mark Rutte dalam undian popular.

Memberi reaksi kepada arahan itu, Wilders berkata beliau dihukum atas apa yang difikirkan jutaan rakyat Belanda.

Menerusi Twitter, beliau mengulangi tindakan ke atasnya itu bermotifkan politik.

Pada 2011, Wilders dibebaskan daripada dakwaan mencetuskan kebencian kaum kerana menggesa al-Quran diharamkan dan mengusir penjenayah Maghribi.

Hakim berkata, kenyataan itu walaupun menghina bagi sesetengah pihak, masih dalam lingkungan politik yang sah.

Ramai pemerhati berasa perbicaraan itu akan membantu meningkatkan popularitinya kerana Wilders mampu menonjolkan diri sebagai juara kebebasan berucap. - Agensi

Berita Harian X