Sabtu, 15 Oktober 2016 | 11:31pm

Tentera sekutu akur silap bedil Yaman

KEADAAN bangunan yang musnah dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah majlis pengebumian di Sanaa, Yaman.
KEADAAN bangunan yang musnah dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah majlis pengebumian di Sanaa, Yaman.

KAHERAH: Tentera bersekutu diketuai Arab Saudi berkata serangan bom di kawasan pemberontak Houthi di Yaman berlaku kerana mereka mendapat 'maklumat yang salah'.

Dalam insiden serangan udara itu, sekurang-kurangnya 140 orang maut dan mencederakan 600 lagi ketika mereka menghadiri upacara pengebumian di sebuah dewan di ibu negara, Sanaa.

Serangan berdarah pada 8 Oktober lalu mencetus reaksi marah daripada komuniti antarabangsa, termasuk daripada sekutu Barat yang rapat dengan Arab Saudi.

Tentera bersekutu dengan Pasukan Penilaian Insiden Bersama (JIAT) berkata, pihak yang bergabung dengan Ketua Jeneral Kakitangan di ibu pejabat Yaman membekalkan maklumat bahawa dewan terbabit dipenuhi pemberontak Houthi Syiah.

Ia adalah kawasan yang menjadi sasaran tentera bersekutu sejak 2015 ketika campur tangan dalam perang saudara Yaman menyokong kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan berbahasa Inggeris, pihak yang tidak dikenali menegaskan bahawa lokasi terbabit adalah 'sasaran tentera yang sah'.

Sementara itu, Pusat Operasi Udara di Yaman berkata ia menyasarkan lokasi itu tanpa mendapat kelulusan tentera bersekutu.

Dalam pada itu, pasukan siasatan menggesa tentera sekutu untuk segera menyemak peraturan dan mencadangkan pampasan diberi kepada keluarga mangsa.

Ini adalah insiden kali pertama tentera sekutu mengakui mereka bertanggungjawab dalam serangan udara itu selepas menafikannya sebelum itu.

Kerajaan Yaman di bawah pimpinan Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi belum lagi mengulas secara terbuka insiden pengeboman pada 8 Oktober lalu. - AP

Berita Harian X