Isnin, 17 Oktober 2016 | 7:08am
LOKASI anak perempuan pelari pecut Olimpik, Tyson Gay yang berusia 15 tahun ditembak mati di leher. - Foto AP
LOKASI anak perempuan pelari pecut Olimpik, Tyson Gay yang berusia 15 tahun ditembak mati di leher. - Foto AP

Anak pelari pecut Olimpik AS ditembak mati

LEXINGTON (Kentucky): Anak perempuan pelari pecut Olimpik, Tyson Gay yang berusia 15 tahun ditembak mati di leher, demikian menurut ejen atlet berkenaan hari ini.

Trinity Gay meninggal dunia di Pusat Perubatan University of Kentucky, menurut Pejabat Koroner Daerah Fayette dalam satu kenyataan.

Ejen atlet berkenaan, Mark Wetmore, mengesahkannya dalam satu mesej kepada The Associated Press bahawa anak perempuan Gay terbunuh.

Polis Lexington dalam satu kenyataan berkata, anggota polis yang bergegas ke tempat letak kereta di sebuah restoran berhampiran kampus University of Kentucky di Lexington kira-kira jam 4 pagi selepas beberapa saksi membuat laporan mengenai bunyi tembak menembak antara dua kenderaan.

Pegawai polis mengesan salah satu kenderaan terbabit dan menahan dua suspek untuk disoal siasat.

Jurucakap polis, Brenna Angel berkata pihaknya tidak pasti sama ada Trinity berada dalam kenderaan terbabit.

Gay menyertai tiga Olimpik musim panas dan dia adalah sebahagian anggota pasukan yang menang pingat perak dalam acara 4x100 meter di Olimpik London 2012. Bagaimanapun, pingat itu dibatalkan selepas Gay didapati positif mengambil ubat rangsangan pada 2013.

Trinity juga seorang atlet pecut di Lafayette High di Lexington dan menduduki tempat keempat pada acara 100 meter dan kelima dalam acara 200 meter pada kejohanan peringkat sekolah Kelas 3A pada Mei lalu.

Trinity juga terbabit dalam acara 4x200 meter berganti dan menduduki tempat keempat.

Ayahnya juga bermula sebagai atlet di Lafayette dan masih memegang rekod negeri bagi acara 100 meter yang dicatat pada tahun 2001. - AP

Berita Harian X