Jumaat, 28 Oktober 2016 | 12:04pm

Ahli perundangan Belanda mahu hentikan 'pencerobohan Islam' di Barat

 GEERT Wilders.
GEERT Wilders.

THE HAGUE: Ahli perundangan berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders, yang dibicarakan pada Isnin atas dakwaan membuat ucapan berunsur kebencian, percaya beliau dalam misi menghentikan 'pencerobohan Islam' di Barat.

Mendapat sama banyak bantahan dan sokongan bagi retorik anti-Islamnya, beliau berusia 53 tahun itu menjadi pencetus perpecahan di Belanda, yang bangga dengan tradisi lama persetujuan politik dan toleransi pelbagai budaya tetapi kini kian pudar.

"Kami bukan xenofobia iaitu takutkan orang luar tetapi menentang kebanjiran budaya yang bertentangan dengan apa yang kita pertahankan," kata Wilders baru-baru ini.

Ahli politik itu berhadapan dakwaan mencetuskan kebencian kaum selepas berjanji ketika pilihan raya tempatan pada 2014 beliau akan memastikan 'tidak ramai penduduk berketurunan Maghribi' di negara itu.

Pengarah filem anti-Islam, Fitna, itu sebelum ini berkata popularitinya di Belanda disebabkan hakikat beliau bernai bercakap mengenai subjek sensitif seperti Islamofobia dan menggunakan perkataan mudah yang difahami pengundi.

Filem sepanjang 17 minit itu, memaparkan imej mengejutkan serangan di New York pada 2001 dan Madrid pada 2004 digabungkan dengan petikan al-Quran mengundang kemarahan negara Islam apabila ditayangkan pada 2008.

Pada 2011, Wilders dibebaskan daripada lima dakwaan ucapan kebencian dan diskriminasi kerana Fitna selain kenyataan anti-Islam yang dibuat di laman web, forum internet dan akhbar Belanda.

Ketika itu pendakwa enggan mengenakan dakwaan terhadap Wilders, berkata komen beliau mengkritik Islam sebagai agama dan bukan terhadap umat Islam.

Wilders mahu menggantung penghijrahan umat Islam, menutup masjid dan mengharamkan al-Quran, yang dibandingkan dengan buku popular Mein Kampf jika menang pilihan raya tahun depan. - AFP

Berita Harian X