Khamis, 3 November 2016 | 10:52am

Pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi terkepung di Mosul

PEMIMPIN militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi.
PEMIMPIN militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi.

BAGHDAD: Pemimpin militan Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dilaporkan dikepung tentera Iraq, yang memasuki kubu kuat kumpulan itu di Mosul buat kali pertama dalam masa lebih dua tahun untuk serangan akhir.

Pertempuran menawan semula Mosul, lokasi al-Baghdadi dipercayai bersembunyi, berkemungkinan berakhir dengan kekalahan Daesh, menurut laporan akhbar Independent.

Ketua Turus Staf kepada Presiden Kurdis, Massoud Barzani, Fuad Hussein, memberitahu akhbar berkenaan kerajaannya mempunyai maklumat daripada pelbagai sumber menyatakan 'Baghdadi ada di sini dan jika terbunuh, ia bermakna kejatuhan keseluruhan sistem Daesh.'

Baghdadi tidak menampilkan diri di khalayak ramai sejak lapan atau sembilan bulan lalu, menurut Hussein, yang menambah pergerakan berkenaan amat bergantung kepada komander dari Mosul dan Tal Afar.

Dalam perkembangan lain, al-Baghdadi menyatakan keyakinan untuk menang, dalam mesej pertamanya selepas tentera Iraq yang dibantu Amerika Syarikat memulakan serangan menawan semula Mosul.

"Peperangan ini adalah jihad besar yang diharungi Daesh untuk meningkatkan kepercayaan kami, dengan izin Tuhan, kami yakin ini adalah permulaan untuk kemenangan," katanya dalam rakaman audio yang disiarkan pada Khamis oleh penyokongnya.

Beliau menggesa penduduk wilayah Nineveh di Mosul supaya memerangi 'musuh Tuhan' dan penyerang bunuh diri 'mengubah malam orang kafir menjadi siang', mencetuskan kekecohan di negara mereka dan membuatkan darah mereka mengalir seperti sungai. - Agensi/Reuters

Berita Harian X