Rabu, 16 November 2016 | 11:00pm

Duterte mahu jadi rakan Trump, Putin

PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters
PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto Reuters

MANILA: Rodrigo Duterte yang menyelar Presiden Barack Obama kerana mengkritik tindakan kerasnya ke atas penagih dadah berkata, hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) kemungkinan bertambah baik di bawah pentadbiran Donald Trump.

Presiden Filipina itu juga menyuarakan keterujaannya untuk bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam sidang kemuncak Asia-Pasifik akan datang.

Ditanya jika hubungannya dengan AS boleh diperbaiki di bawah pimpinan Trump, Duterte menjawab: "Saya pasti, kami tiada pertengkaran. Saya sentiasa boleh menjadi rakan kepada sesiapa, terutama kepada seorang presiden atau ketua eksekutif negara lain."

Duterte, 71, yang sering dibandingkan dengan Trump kerana kelantangannya terhadap lawan dan pengkritik berkata, beliau percaya dengan pertimbangan Trump dan menjangkakan Presiden dipilih itu akan bersikap adil dengan individu yang menetap di AS secara haram.

Rakyat Filipina adalah satu daripada kumpulan ekspatriat terbesar di AS.

Pandangan Duterte itu ternyata amat berbeza ketika jejak kempennya Mac lalu, apabila berasa terhina kerana dibandingkan dengan Trump.

"Donald Trump seorang yang taksub, saya tidak," kata Duterte, merujuk kepada cadangan Trump melarang Muslim daripada memasuki AS dan mendirikan tembok di sepanjang sempadan Mexico. - AP

Berita Harian X