Rabu, 23 November 2016 | 11:44pm

Trump mahu tamatkan sengketa Israel, Palestin

BAKAL Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto Reuters
BAKAL Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Donald Trump semalam dilaporkan berkata, beliau mahu menamatkan konflik antara Israel dan Palestin, walaupun negara itu kerap kali gagal menyelesaikan isu damai di Asia Barat.

"Saya mahu menjadi Presiden yang boleh mewujudkan perdamaian antara Israel dan Palestin. Ia akan menjadi satu pencapaian hebat bagi saya," kata Trump dalam satu temu bual dengan akhbar New York Times.

Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Januari depan.

Seorang wartawan New York Times menerusi Twitter berkata, Trump turut mencadangkan menantunya Jared Kushner mungkin membantu dalam rundingan damai itu.

Kushner berkahwin dengan anak perempuan Trump, Ivanka dan beliau adalah daripada keluarga Yahudi Ortodoks. Ahli perniagaan dan pelabur itu adalah seorang penasihat rapat kepada Trump ketika kempen pilihan raya.

Sebelum ini, Trump mencetuskan kemarahan Palestin selepas mencadangkan Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu negara Israel dan cadangan itu bertentangan dengan polisi Amerika Syarikat selama ini. - AFP

Berita Harian X