Ahad, 4 Disember 2016 | 8:59am

Aktivis ditahan kes hina keluarga diraja Thailand

RAJA Maha Vajiralongkorn. - Foto Reuters
RAJA Maha Vajiralongkorn. - Foto Reuters

BANGKOK: Polis Thai menahan aktivis antijunta pada Sabtu kerana menghina keluarga diraja dalam apa yang dikatakan kumpulan hak sebagai kes pertama seumpama itu di bawah pentadbiran raja baru.

Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi menaiki takhta pada Khamis berikutan kematian bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej, yang meninggal dunia pada usia 88 tahun Oktober lalu.

Superintenden di wilayah Chaiyaphum, Kolonel Jaturon Trakulpan, berkata aktivis terbabit, Jatupat Boonpattararaksa, mengadakan beberapa bantahan antijunta, ditahan dan didakwa menghina raja menurut Artikel 112 kanun keseksaan Thailand.

"Kami menangkap beliau dalam kuil," kata Jaturon.

Artikel 112 menyebut, sesiapa yang 'memfitnah, menghina atau mengancam raja, permaisuri, pewaris atau pemangku raja' boleh dihukum sehingga 15 tahun penjara.

Kumpulan hak yang mewakili Jatupat, Peguam Hak Asasi Manusia Thai, menulis dalam Twitter beliau didakwa dengan menghina raja kerana berkongsi pautan di Facebook dengan program profile raja baru negara itu terbitan Perbadanan Penyiaran Britain berbahasa Thai.

Jurucakap pertubuhan itu, Anon Chawalawan, berkata kes itu adalah yang pertama difailkan di bawah raja baru.

"Ia sudah dikongsi banyak kali. Kami mempersoalkan mengapa beliau menjadi sasaran. Mungkin kerana beliau ada sejarah menganjurkan bantahan antijunta," kata Anon. - AGENSI

Berita Harian X