Sabtu, 10 Disember 2016 | 9:15am

Pembangkang menang pilihan raya Presiden Ghana

PRESIDEN baharu dilantik, Nana Akufo-Addo memberikan ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang pilihan raya presiden di Accra, Ghana. - Foto AP
PRESIDEN baharu dilantik, Nana Akufo-Addo memberikan ucapan selepas diumumkan sebagai pemenang pilihan raya presiden di Accra, Ghana. - Foto AP

ACCRA: Pemimpin pembangkang, Nana Akufo-Addo memenangi pilihan raya Ghana, sekali gus menjadi presiden selepas percubaan ketiganya bagi mempertahankan sistem demokrasi di negara itu yang tercemar berikutan rampasan kuasa dan perang saudara.

Akufo-Addo menewaskan Presiden John Mahama dengan memperoleh 53.8 peratus undi berbanding Mahama 44.4 peratus, demikian diumumkan Pesuruhjaya Pilihan Raya Ghana, Charlotte Osei lewat malam tadi.

"Saya ingin membuat rayuan kepada anda malam ini, saya tidak akan mempersia-siakan anda. Saya akan lakukan mengikut kuasa yang diberikan untuk membantu kehidupan anda seperti yang diingini," kata Akufo-Addo kepada penyokong yang meraikan kejayaannya di depan kediamannya.

Penyokong parti pimpinannya, New Patriotic Party (NPP) keluar beramai-ramai dengan menari, membunyikan hon kenderaan dan membakar bunga api di seluruh bandar, kata saksi.

Akufo-Addo, 72, pernah berkhidmat sebagai Menteri Luar dan Peguam Negara ketika kerajaan pimpinan NPP memerintah antara tahun 2001 dan 2009 dan beliau pernah dua kali tewas dalam perebutan jawatan presiden.

"Menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk mengisytiharkan bahawa Nana Akufo-Addo sebagai Presiden Ghana yang dipilih," kata Osei dalam satu sidang media di ibu negara. - AFP

Berita Harian X