Ahad, 11 Disember 2016 | 8:14am

60 maut gereja runtuh di Nigeria

Reigners Bible Church International masih dalam proses pembinaan, runtuh di Uyo, selatan Nigeria. - Foto http://www.nationalhelm.net/
Reigners Bible Church International masih dalam proses pembinaan, runtuh di Uyo, selatan Nigeria. - Foto http://www.nationalhelm.net/

LAGOS: Sekurang-kurangnya 60 dipercayai terbunuh selepas sebuah gereja yang penuh sesak dengan jemaah runtuh di selatan Nigeria semalam, kata saksi dan pihak berkuasa.

Reigners Bible Church International di Uyo, ibu kota negeri Akwa Ibom masih dalam proses pembinaan dan disiapkan secara tergesa-gesa sebelum upacara pelantikan seorang paderi, Akan Weeks semalam, kata seorang jemaah.

Ratusan jemaah termasuk Gabenor Udom Emmanuel, berada di gereja berkenaan apabila galang logam tumbang menyebabkan bumbung besi runtuh menimpa orang ramai, kata mereka. Bagaimanapun Emmanuel dan Weeks terselamat.

Menurut seorang petugas penyelamat, dianggarkan 60 mayat berjaya dikeluarkan setakat ini, namun percaya angka kematian akan meningkat.

Jurucakap gabenor, Ekerete Udoh, berkata kerajaan negeri sedang menyiasat kemungkinan wujudnya kepincangan dalam piawaian bangunan.

Kejadian bangunan runtuh kerap berlaku di Nigeria kerana rasuah.

Kontraktor didakwa menggunakan bahan-bahan tidak menepati standard dan memberi suapan kepada pemeriksa untuk mengabaikan kerja-kerja yang kurang bermutu atau tiada permit bangunan yang sah. - AP

Berita Harian X