Jumaat, 23 Disember 2016 | 9:47am

Zika: Lebih separuh wanita Brazil elak kehamilan

PARIS: Lebih separuh wanita muda Brazil menangguhkan kehamilan disebabkan Zika, yang boleh menyebabkan kecacatan kelahiran.

Dalam tinjauan yang dibuat Jun lalu ke atas lebih 2,000 wanita celik huruf di negara itu berusia 18 hingga 39 tahun, 56 peratus berkata mereka "mengelak atau cuba mengelak daripada hamil", disebabkan virus itu, menurut artikel dalam jurnal perubatan BMJ.

Bagaimanapun, lebih 25 peratus wanita melaporkan wabak Zika yang melanda seluruh negara itu sejak pertengahan 2015, tidak menghalang mereka daripada berusaha mendapatkan anak.

Enam belas peratus berkata, mereka tidak merancang langsung untuk hamil.

"Keputusan memberikan pandangan penting bagaimana Zika membentuk hasrat untuk hamil dalam kalangan wanita di Brazil," kata penulis bersama kajian, Prof Marcelo Medeiros dari Universiti Brasilia.

Walaupun Zika cuma memberikan gejala sederhana kepada kebanyakan pesakit, wanita hamil yang dijangkiti virus itu berisiko melahirkan bayi dengan mikrosefali, kecacatan yang membawa kepada kepala dan otak lebih kecil berbanding biasa.

Lebih 1.5 juta penduduk dijangkiti Zika, terutama di Brazil, dan lebih 1,600 bayi dilahirkan dengan mikrosefali tahun lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

WHO menamatkan status kecemasan kesihatan global Zika yang diumumkan pada Februari, bulan lalu.

Brazil enggan menurunkan risiko virus itu, dan sebahagian pakar mengkritik keputusan WHO. - AFP

Berita Harian X