Rabu, 4 Januari 2017 | 1:51pm

Suruhanjaya Myanmar nafi keganasan terhadap Rohingya

KEMENANGAN Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar tidak membawa perubahan terhadap Myanmar.- Foto EPA
KEMENANGAN Aung San Suu Kyi dalam pilihan raya Myanmar tidak membawa perubahan terhadap Myanmar.- Foto EPA

YANGON: Suruhanjaya menyiasat keganasan di negeri Rakhine di Myanmar, hari ini menafikan pasukan keselamatan mendera penduduk Islam Rohingya, beberapa hari selepas rakaman video menunjukkan polis memukul orang awam.

Puluhan ribu penduduk Rohingya, kumpulan yang dibenci ramai penganut Buddha Myanmar, melarikan diri daripada operasi ketenteraan di negeri itu, yang dilancarkan selepas serangan maut ke atas pos polis pada Oktober.

Puluhan terkorban dalam tindakan keras tentera itu, manakala mereka yang berjaya melarikan diri ke Bangladesh mendakwa dirogol, dibunuh, kebakaran disengajakan, pembunuhan dan penderaan dilakukan pasukan keselamatan.

Kerajaan Myanmar, diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi, berkata dakwaan itu diada-adakan dan menentang tekanan antarabangsa untuk bertindak melindungi etnik minoriti itu.

Hari ini, suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat keganasan menyiarkan laporan sementara menyangkal dakwaan pasukan keselamatan melakukan penderaan atau melancarkan kempen menghalau penduduk Rohingya.

Saiz penduduk 'Benggali', masjid dan bangunan keagamaan di kawasan itu, adalah 'bukti tiada kes pembunuhan beramai-ramai dan penindasan agama,' katanya dalam laporan yang disiarkan media.

Myanmar enggan mengiktiraf Rohingya sebagai antara etnik minoriti negara itu, sebaliknya menggambarkan mereka sebagai Benggali atau pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Suruhanjaya itu, yang diketuai bekas jeneral tentera sehingga baru-baru ini disenaraihitamkan oleh Washington, juga mendapati tiada bukti kes rogol dan masih meneliti dakwaan kebakaran disengajakan, penangkapan tidak mengikut undang-undang dan penderaan terhadap penduduk Rohingya.

Tindakan undang-undang sudah diambil terhadap 485 penduduk awam, katanya, tanpa mengulas lanjut.

Kenyataan dibuat beberapa hari selepas kerajaan menangkap empat pegawai polis berhubung video yang dirakamkan rakan mereka menunjukkan mereka memukul dan menendang penduduk kampung Rohingya, pengakuan yang jarang dibuat. - AFP

Berita Harian X