X
Sabtu, 7 Januari 2017 | 3:40pm

Dera mungkin normal di Myanmar: Pegawai AS

WASHINGTON: Penderaan menjadi satu perlakuan 'normal dan dibenarkan' di Myanmar dalam usaha mengekang kebangkitan etnik Islam Rohingya, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS).

Pegawai itu berkata demikian dalam satu temuramah seolah-olah menggambarkan salah satu pencapaian dasar luar pentadbiran Presiden Barack Obama.

Obama dan barisan penasihatnya sejak sekian lama menangguhkan peralihan di wilayah mundur yang 'tidak diperlukan' itu daripada cengkaman tentera pemerintah daripada usaha menerap nilai demokrasi di Asia Tenggara.

Malangnya, persengketaan di wilayah Rakhine menjadikan usaha itu bukan satu tugas mudah.

Rakhine sebahagian besarnya telah ditutup kepada orang luar, termasuk petugas bantuan, sejak serangan maut pemberontak terhadap polis pada Oktober tahun lalu.

Susulan itu 'operasi pembersihan' diketuai tentera dilakukan, mengingatkan kembali ketika zaman pemerintahan junta yang menyebabkan berpuluh-puluh orang mati. Akibatnya berpuluh ribu etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.

Minggu ini, suruhanjaya yang diketuai bekas jeneral dilantik kerajaan Myanmar berkata, tidak terdapat cukup bukti setakat ini untuk menyokong dakwaan rogol dan pembunuhan yang dilakukan pasukan keselamatan terhadap penduduk Rohingya yang melarikan diri dari utara Rakhine.

Ketua hak asasi manusia Jabatan Negara AS, Tom Malinowski mempersoal kredibiliti siasatan itu. Katanya rakaman video polis Myanmar menyepak dan memukul etnik itu seperti yang tersebar di media sosial - menunjukkan trend yang membimbangkan.

"Orang biasa tidak merakam diri mereka melakukan pencabulan hak asasi manusia kecuali berasakan ia adalah perbuatan yang normal dan dibenarkan," kata Malinowski.

Kerajaan Myanmar menyiasat rakaman video itu dan telah menahan anggota polis yang terbabit tetapi menegaskan insiden itu adalah kes terpencil. - AP

Berita Harian X