Ahad, 15 Januari 2017 | 12:08am

Kushner, individu paling berkuasa di belakang tabir

NEW YORK: Menantu Donald Trump, Jared Kushner dijangka menjadi individu paling berkuasa di Amerika Syarikat (AS) disebabkan sifat tenang dan pengaruh beliau terhadap bapa mentuanya yang juga Presiden dipilih negara itu.

Kushner dikatakan mengambil peranan perancang belakang tabir dalam kemenangan mengejut bapa mentuanya itu, yang menangi pilihan raya presiden 8 November lalu.

Tanpa menghiraukan tuduhan nepotisme atau pelanggaran etika, Trump menyifatkan Kushner sebagai aset dan penasihat dipercayai ketika mengumumkan pelantikan beliau sebagai penasihat khas Rumah Putih.

Seorang jutawan hartanah dan penerbit, Kushner berkahwin dengan anak sulung Trump, Ivanka pada 2009.

Pasangan yang memiliki tiga anak itu kini akan bertukar status sebagai pasangan berkuasa Manhattan kepada kehidupan dilingkari politik di Washington.

Anak kepada penganut Yahudi Ortodoks dari New Jersey itu pernah menderma kepada Demokrat sebelum ini, namun selepas menyaksikan sokongan terhadap bapa mentuanya, beliau terus mempertahankan Trump tanpa berbelah bahagi.

"Orang dalam dunia politik cuba meletakkan anda dalam bekas berbeza berdasarkan apa yang wujud. Saya fikir Trump mencipta bekasnya sendiri, campuran apa yang berhasil dan mengetepikan apa yang tidak," katanya kepada Forbes.

Jauh berbeza dengan Trump, Kushner senyap di media sosial dan hanya tampil tersenyum dalam potret keluarga dimuat naik isterinya, yang menukar agama Yahudi sebelum perkahwinan mewah mereka. Namun di belakang tabir, pengaruh Kushner tiada tandingan.

Trump tahun lalu berkata, Kushner, yang mana yayasan keluarganya dilapor menderma kepada penempatan Israel, amat berbakat sehingga beliau berupaya membantu "proses damai di Asia Barat."

Pengaruhnya sehingga akhbar New York Times melaporkan, pentadbiran Rumah Putih terdahulu dimaklumkan, dasar hal ehwal luar yang perlu diberi perhatian Trump perlu disampaikan menerusi Kushner.

Beliau juga menjadi penghubung kepada pemimpin teknologi, memperoleh sokongan daripada individu berpengaruh di bandar raya ini dan pemain global, kebanyakannya lebih tua daripadanya seperti Rupert Murdoch. Malah, golongan liberal mengalu-alukan pelantikannya.

"Saya amat menghormati beliau," kata Datuk Bandar berhaluan kiri New York, Bill de Blasio, menambah beliau mengenali Kushner selama bertahun dan menganggapnya seorang yang amat bertimbang rasa.

Seperti Trump, Kushner mengalihkan tumpuan perniagaan keluarga ke Manhattan. Hari ini, Forbes mengunjurkan gabungan kekayaan ibu bapa dan adik beradik Kushner bernilai AS$1.8 bilion (RM8.03 bilion).

Selepas majlis pelantikan Trump, beliau dijangka bekerjasama rapat dengan Ketua Turus Kakitangan Rumah Putih, Reince Priebus dan Ketua Strategi, Steve Bannon.

The Times melaporkan, Kushner merancang menyelesaikan isu Asia Barat dan Israel, menjalin kerjasama kerajaan dan sektor swasta serta isu perdagangan bebas. - Agensi

Berita Harian X