Ahad, 29 Januari 2017 | 1:01pm

Hakim Mahkamah Persekutuan AS ketepi larangan Trump

NEW YORK: Seorang Hakim Mahkamah Persekutuan semalam, mengenepikan sebahagian larangan sementara terhadap pelarian yang dikeluarkan Presiden Donald Trump.

Keputusan itu diambil berikutan tindakan pihak berkuasa melarang pelarian dan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam memasuki Amerika Syarikat.

Larangan itu menyaksikan ramai pelarian dan pelancong dari negara terbabit terperangkap di lapangan terbang atau diusir pulang ke negara masing-masing.

Sebaik Hakim Daerah AS, Ann Donnelly mengeluarkan keputusannya, Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) memuat naik tweet 'Berjaya!!!' di akaun Twitter mereka.

ACLU mengarahkan peguam mereka menyaman kerajaan AS berhubung perkara itu.

"Hari ini, mahkamah berfungsi seperti yang sepatutnya sebagai benteng sebarang bentuk penindasan kerajaan atau dasar dan perintah yang tidak mengikut Perlembagaan," katanya.

Perintah eksekutif Trump yang ditandatangani kelmarin, menggantung kedatangan pelarian untuk sekurang-kurangnya 120 hari dan menyekat visa pelancong dari tujuh negara majoriti Islam bagi tiga bulan akan datang.

Negara yang disasarkan ialah Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Langkah pihak berkuasa AS itu mencetuskan protes besar-besaran di semua lapangan terbang utama di seluruh negara.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy New York, sebahagian daripada 2,000 penunjuk perasaan melaungkan: "Benarkan mereka masuk, benarkan mereka masuk!"

Keputusan Donnelly itu bakal menghentikan pelaksanaan perintah Perlembagaan Trump yang mencetuskan kebimbangan puluhan penumpang yang ditahan di lapangan terbang AS.

Bilangan sebenar mereka yang terbabit tidak dapat disahkan, namun hakim mengarahkan kerajaan menyenaraikan nama mereka yang ditahan di lapangan terbang AS sejak arahan dikuatkuasakan.

"Mengarahkan pelancong kembali ke negara asal mereka susulan perintah Trump mendedahkan mereka kepada kesan yang cukup besar dan tidak mungkin dapat dipulihkan," hujah Donnelly yang dilantik menyandang jawatan itu oleh bekas Presiden, Barack Obama.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ACLU, Anthony Romero, berkata keputusan Donnelly menunjukkan mahkamah akan mempertahankan hak semua, jika undang-undang atau perintah eksekutif yang digubal oleh Trump tidak dibuat mengikut Perlembagaan.

"Malam ini, kita akan pastikan tiada siapa dipaksa masuk semula ke pesawat," katanya. - AFP

Berita Harian X