Khamis, 2 Februari 2017 | 8:39am

Langkah laksana Brexit bermula

THERESA May. - Foto Daily Express
THERESA May. - Foto Daily Express

LONDON: Parlimen Britain lewat malam tadi, meluluskan peringkat pertama rang undang-undang yang memberi kuasa kepada Perdana Menterinya, Theresa May, untuk memulakan langkah membawa keluar negara itu daripada Kesatuan Eropah (EU).

Ahli Parlimen meluluskan rang undang-undang itu, yang antara lain membenarkan kerajaan melaksanakan Artikel 50 Perjanjian Lisbon EU dan memulakan rundingan keluar atau Brexit selama dua tahun, dengan undian 498 menyokong dan 114 membantah.

Ia adalah undian pertama berkaitan Brexit di Dewan Rakyat selepas perbahasan selama 17 jam. Undian kedua dan penentu dijadualkan minggu depan.

Parti Buruh mengarahkan Ahli Parlimen supaya tidak menghalang rang undang-undang berkenaan tetapi 47 daripada mereka mengingkari arahan pemimpin parti pembangkang itu, Jeremy Corbyn.

Beliau belum memaklumkan tindakan bakal diambil terhadap mereka yang melanggar arahan parti.

May menghadapi tekanan hebat untuk meluluskan rang undang-undang berkenaan, selepas berjanji kepada pemimpin EU untuk memenuhi Artikel 50 menjelang akhir Mac.

Beliau berkata, pelan strategi Brexit yang sudah lama dinantikan akan dibentangkan di Parlimen hari ini. Ia akan membuka ruang untuk dinilai di peringkat Parlimen.

"Ia akan mencerminkan perancangan kerajaan terhadap pelaksanaan Brexit," kata jurucakap May kepada pemberita. - AFP

Berita Harian X