Selasa, 7 Februari 2017 | 5:10pm

Lelaki bogel curi teksi ditahan

PHILADELPHIA: Seorang lelaki ditahan selepas mencuri sebuah teksi, sebelum memandu kenderaan itu merentasi sebuah taman di sini, yang sesak dengan pengunjung dalam keadaan bogel.

Dalam kejadian yang berlaku pada tengah hari semalam, lelaki itu dikatakan menyerang seorang penumpang wanita yang keluar dari teksi terbabit.

Menurut polis, ketika pemandu teksi keluar untuk membantu wanita berkenaan, lelaki itu terus membuka pakaian dan memasuki teksi, sebelum memandunya ke arah taman.

"Ketika saya keluar daripada teksi untuk membantu penumpang wanita, lelaki itu menanggalkan pakaiannya dan terus mencuri teksi saya," kata pemandu teksi.

Sementara itu, menurut polis, selepas berjaya melarikan teksi, suspek terus memandu merentasi Dataran Rittenhouse.

Beliau turut melanggar tiga kenderaan yang diletakkan di bahu jalan dan melanggar pembahagi jalan, sebelum berjaya ditahan.

Bagaimanapun, tiada orang awam yang dilaporkan cedera.

Suspek kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. - AP

Berita Harian X