Ahad, 12 Februari 2017 | 9:58am

Wira Perang Vietnam meninggal dunia

 LT Jeneral (B) Harold G.
LT Jeneral (B) Harold G.

AUBURN: Lt Jeneral (B) Harold G. "Hal" Moore, wira Amerika yang terkenal kerana menyelamatkan ramai anggotanya dalam pertempuran pertama di antara tentera Amerika Syarikat dan Vietnam Utara, meninggal dunia.

Joseph Galloway, yang bersama-sama Moore menulis buku "We Were Soldiers Once ... and Young," mengesahkan kepada The Associated Press bahawa Moore meninggal dunia pada lewat Jumaat ketika dalam tidurnya di kediamannya di Auburn, Alabama.

Galloway berkata Moore, rakannya sejak 51 tahun lalu, meninggal dunia hanya dua hari sebelum dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-95.

Moore terkenal kerana tindakannya dalam Pertempuran Ia Drang pada 1965, di mana dia yang berpangkat leftenan kolonel ketika itu mengetuai Batalion Pertama, Regimen Ke-7 Kavalri.

Tindakannya itu kemudian dijadikan filem bertajuk "We Were Soldiers" yang dipegang oleh pelakon Mel Gibson.

Galloway, bekas koresponden perang bagi United Press International, berkata Moore "tanpa diragui adalah komander terbaik yang pernah disaksikannya ketika berperang".

"Kami yang terbabit dalam Landing Zone X-Ray dan terselamat kerana kecemerlangannya ketika bertindak. Saya rasa semua di antara kami terfikir akan mati di tempat itu kecuali Hal Moore. Dia amat pasti kami akan menang pertempuran itu dan dia betul," imbas Galloway. - AP

Berita Harian X