Jumaat, 24 Februari 2017 | 1:41am

13 pendatang mati sesak nafas di Libya

SERAMAI 13 pendatang termasuk dua remaja ditemui mati akibat sesak nafas dalam sebuah kontena di Libya semalam. - Foto www.libyaobserver.ly
SERAMAI 13 pendatang termasuk dua remaja ditemui mati akibat sesak nafas dalam sebuah kontena di Libya semalam. - Foto www.libyaobserver.ly

TRIPOLI: Seramai 13 pendatang termasuk dua remaja ditemui mati akibat sesak nafas dalam sebuah kontena di Libya semalam, manakala sekurang-kurangnya 56 mangsa lain terselamat.

Difahamkan, kontena yang dibawa menggunakan lori itu dalam perjalanan ke pantai di Khoms dan semua pendatang terbabit dijangka menaiki sebuah bot ke Eropah.

Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) dalam laman webnya memetik Bulan Sabit Merah Libya sebagai berkata, semua pendatang Afrika itu terperangkap selama empat hari dalam kontena besi terbabit.

Daripada 56 mangsa yang terselamat, beberapa orang mengalami pelbagai kecederaan termasuk tulang retak dan memerlukan rawatan segera.

Seorang jurucakap Bulan Sabit Merah Libya, Mohammad al-Misrati berkata, mereka ditemui di Khoms, sebuah bandar pesisir pantai di timur Tripoli, ibu negara Libya.

Mereka berasal daripada beberapa negara Afrika dan antara yang mati adalah seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dan remaja lelaki berusia 14 tahun.

Seorang penduduk Khoms yang tidak mendedahkan identitinya berkata, lori itu ditahan dan diperiksa ketika dalam perjalanan ke pantai. - AFP

Berita Harian X