Isnin, 27 Februari 2017 | 12:02pm

3 maut, 19 hilang banjir di Chile

PASUKAN penyelamat Chile mencari mangsa selepas banjir lumpur menyebabkan tanah runtuh di kawasan San Jose de Maipo, dekat Santiago, Chile. - Foto EPA
PASUKAN penyelamat Chile mencari mangsa selepas banjir lumpur menyebabkan tanah runtuh di kawasan San Jose de Maipo, dekat Santiago, Chile. - Foto EPA

SANTIAGO: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 19 lain hilang selepas hujan lebat hujung minggu lalu menyebabkan banjir lumpur dan gangguan bekalan air.

Perkhidmatan kecemasan Onemi berkata, hujan lebat menyebabkan sungai melimpah di lembah gunung berhampiran ibu negara Chile itu, menyebabkan 373 penduduk terkandas.

Bekalan air minum bagi lebih satu juta isi rumah di ibu kota ini turut terjejas manakala syarikat penyedia perkhidmatan itu, Aguas Andinas, berkata hujan menyukarkan kerja baik pulih.

"Pasukan kecemasan berada di lokasi kejadian untuk cuba berhubung dengan penduduk yang terperangkap dan memulihkan semula bekalan air secepat mungkin," kata Presiden Chile, Michelle Bachelet di Twitter.

Ia adalah banjir besar kedua melanda tengah Chile dalam tempoh dua tahun lalu.

April tahun lalu, hujan lebat melanda Lembah San Jose de Maipo menyebabkan seorang penduduk terbunuh dan menutup operasi beberapa lombong tembaga terbesar di dunia. - Reuters

Berita Harian X