Selasa, 28 Februari 2017 | 9:02am

SpaceX hantar pelancong angkasa tahun depan

GAMBAR fail, SpaceX. - Foto AP
GAMBAR fail, SpaceX. - Foto AP

MIAMI: SpaceX akan menghantar dua pelawat berbayar ke bulan bagi perjalanan paling jauh manusia ke angkasa lepas, akhir tahun depan.

Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menghantar angkasawan ke bulan sejak misi Apollo Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) pada 1960-an dan 1970-an.

"Kami teruja mengumumkan SpaceX diminta menerbangkan dua pelawat awam dalam perjalanan ke bulan akhir 2018.

"Ia menunjukkan peluang kepada manusia kembali menerokai angkasa lepas buat kali pertama dalam tempoh 45 tahun dan mereka akan melakukan perjalanan lebih pantas serta jauh ke dalam sistem suria berbanding sebelum ini," kata Ketua Eksekutifnya, Elon Musk, dalam satu kenyataan.

Musk berkata, pelancong yang tidak dinamakan itu sudah membayar sejumlah besar wang pendahuluan. Ujian kesihatan dan latihan dijadualkan bermula tahun ini.

"Pasukan penerbangan lain turut melahirkan minat kuat dan kami menjangka lebih ramai menyertainya. Maklumat akan dikeluarkan mengenai pasukan penerbangan dan kontinjen sebaik kelulusan serta pengesahan ujian kesihatan dan kecergasan diterima," katanya.

Pelancong berkenaan akan menaiki kapsul syarikat berpusat di California, Crew Dragon, yang dijadualkan menjalani ujian penerbangan pertama tanpa pemandu akhir tahun ini. - AFP

Berita Harian X