Isnin, 6 March 2017 | 10:23pm

Netanyahu disoal siasat kali keempat isu rasuah

BENJAMIN Netanyahu. - Foto REUTERS
BENJAMIN Netanyahu. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Polis dijangka menyoal siasat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk kali keempat hari ini dalam siasatan rasuah yang mendorong pesaing politiknya mula melihat prospek menguasai wilayah itu selepas pemerintahannya.

Akhbar dan televisyen Israel, memetik sumber tidak dinamakan, berkata Netanyahu akan disoal siasat lewat hari ini.

Jurucakap kepada perdana menteri itu yang menafikan sebarang salah laku, tidak membalas permintaan untuk memberi ulasan.

Jurucakap polis enggan mengesahkan laporan itu, tetapi berkata jika Netanyahu disoal siasat, kenyataan akan dikeluarkan .

Netanyahu, 67, menjadi suspek dalam dua kes, satu membabitkan penerimaan hadiah daripada ahli perniagaan dan satu lagi berkaitan perbualannya dengan penerbit akhbar Israel mengenai mengehadkan persaingan dalam sektor berita sebagai balasan mendapatkan liputan positif.

Tiada dakwaan dibuat terhadap Netanyahu, yang mula berkuasa sejak 2009.

Ketua Polis, Roni Elsheich, memberitahu wartawan: "Kami akan selesai tidak lama lagi, kami dalam fasa akhir."

Sebaik siasatan selesai, polis akan memutuskan sama ada untuk menggugurkan kes atau mencadangkan kepada Peguam Negara supaya beliau didakwa. - REUTERS

Berita Harian X