Selasa, 7 March 2017 | 11:08pm

Petani tunjuk perasaan dengan ternakan

KAMBING biri-biri dilihat di hadapan Palace Montecitorio ketika protes yang diadakan oleh petani dari zon gempa bumi Amatrice, di Rom, Itali. - Foto Reuters
KAMBING biri-biri dilihat di hadapan Palace Montecitorio ketika protes yang diadakan oleh petani dari zon gempa bumi Amatrice, di Rom, Itali. - Foto Reuters

ROME: Petani Itali dari wilayah yang musnah akibat gempa bumi membawa biri-biri ke tengah ibu kota negara itu hari ini, bagi membantah apa yang disifatkan sebagai kelewatan serius dalam usaha pembinaan semula.

Lebih 10,000 haiwan itu terbunuh atau cedera berikutan gempa bumi dan cuaca sejuk selepas itu, kata persatuan petani, Coldiretti.

Di luar Parlimen, kandang mudah alih didirikan untuk menempatkan tiga ekor biri-biri yang diselamatkan dari kawasan dilanda gegaran manakala petani mengibarkan bendera dan sepanduk berbunyi 'Birokrasi lebih dahsyat daripada gempa bumi.'

Ribuan perniagaan berasaskan pertanian terletak di wilayah Lazio, Marche, Abruzzo dan Umbria yang dilanda gempa bumi pada Ogos lalu.

Perdana Menteri, Paolo Gentiloni, meluluskan rang undang-undang membantu penduduk yang terjejas akibat gempa bumi, termasuk peruntukan 35 juta euro (RM164 juta) untuk memberi pampasan kepada petani yang kehilangan pendapatan.

Undang-undang juga bertujuan memudahkan kerajaan tempatan membeli gerai sementara. Petani berkata, kira-kira 85 peratus daripada ternakan mereka memerlukan tempat perlindungan.

"Penternak masih tidak tahu di mana hendak menempatkan lembu, babi dan biri-biri yang selamat dalam kejadian itu, sama ada meletakkan mereka dalam kesejukan di luar, berisiko berhadapan kematian dan penyakit, atau dalam bangunan terbiar," kata persatuan itu.

Cuaca sejuk dan kebimbangan mengurangkan pengeluaran susu sehingga 30 peratus di rantau itu. - REUTERS

Berita Harian X