Sabtu, 11 March 2017 | 10:43am

Masjid di Belanda anjur bahas peranan penduduk Islam

MASJID Essalam. - Foto AFP
MASJID Essalam. - Foto AFP

AMSTERDAM: Ratusan rakyat Belanda memenuhi masjid di Rotterdam bagi mengikuti perdebatan mengenai peranan penduduk Islam negara itu, sebagai tema utama pilihan raya.

Debat diadakan di Masjid Essalam, yang terbesar di Belanda, ketika Parti Kebebasan (PVV) pimpinan ahli Parlimen anti-Islam berhaluan kanan, Geert Wilders, dijangka muncul sebagai antara parti terbesar di Parlimen pada pilihan raya Rabu ini.

Wilder berjanji menghalang pendatang Islam, menutup masjid dan mengharamkan penjualan al-Quran, dan tinjauan terbaru lewat semalam menunjukkan beliau mengukuhkan kedudukan di belakang parti Liberal VVD pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte, dan bersiap sedia menjadi pilihan raya terbaik untuknya.

Peserta majlis menyuarakan kebimbangan dan ketakutan selain gagal memahami perpecahan yang semakin ketara di Belanda, yang sekian lama berbangga dengan budaya toleransinya.

"Saya menjadi asing pada mata orang lain. Tanpa syak lagi, bahaya yang ditunjukkan militan Daesh dan kumpulan radikal Islam memaksa orang ramai melihat sesama sendiri dengan cara berbeza," kata blogger Nourdeen Wilderman yang mempunyai ramai pengikut di media sosial.

Kira-kira 12.9 juta pengundi akan mengundi Rabu ini pada pilihan raya umum yang dilihat sebagai ujian kebangkitan parti berhaluan kanan menjelang undian di negara lain di Eropah lewat tahun ini.

Penduduk Islam di negara itu dianggarkan berjumlah antara 840,000 hingga 960,000 atau sekitar lima peratus daripada 17 juta penduduk. - AFP

Berita Harian X