Isnin, 13 March 2017 | 11:22pm

Scotland sedia hadapi Brexit

LONDON: Risiko keputusan Britain mengundi keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) semakin jelas hari ini, selepas kerajaan nasionalis Scotland mengumumkan pungutan suara menuntut kemerdekaan.

Ia adalah perkembangan terbaru kepada proses Brexit.

Perdana Menteri, Theresa May, dijangka mengumumkan akan menggunakan Artikel 50 selewat-lewanya esok untuk keluar daripada EU, sekali gus meletakkan Britain pada landasan keluar menjelang Mac 2019 selepas empat dekad bersama blok itu.

Menteri Pertama Scotland, Nicola Sturgeon, sebelum ini mengingatkan sebahagian besar warga Scotland menolak pemisahan dengan EU atau Brexit dan hari ini beliau menunaikan janji itu.

"Saya akan mengambil langkah perlu untuk memastikan Scotland mempunyai pilihan pada akhir proses ini.

"Ia akan menjadi pilihan sama ada mengikut United Kingdom (UK) dalam proses sukar Brexit atau menjadi negara bebas yang boleh mendapat kerjasama dan hak sama rata dengan seluruh UK serta Eropah," katanya pada sidang media di Edinburgh.

Pemimpin Parti Kebangsaan Scotland (SNP) itu akan meminta kelulusan menganjurkan pungutan suara antara musim bunga pada 2018 sehingga awal 2019, sebelum Britain meninggalkan EU. - AFP

Berita Harian X