Selasa, 14 March 2017 | 8:10am

May makin hampir mulakan Brexit

PARLIMEN meluluskan undang-undang yang memberinya kuasa untuk memulakan proses keluar dari Kesatuan Eropah (EU). - Foto AFP
PARLIMEN meluluskan undang-undang yang memberinya kuasa untuk memulakan proses keluar dari Kesatuan Eropah (EU). - Foto AFP

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May berjaya menempuh halangan terakhir kepada permulaan rundingan Brexit hari ini selepas Parlimen meluluskan undang-undang yang memberinya kuasa untuk memulakan proses keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Anggota Dewan Rakyat Parlimen mengundi untuk menolak perubahan kepada rang undang-undang yang dibuat oleh Dewan Tinggi awal bulan ini, selepas kerajaan berhujah ia memerlukan kebebasan untuk beroperasi tanpa sekatan bagi mendapatkan perjanjian yang baik.

"Kami kini di ambang rundingan yang paling penting bagi negara kita dalam satu generasi," kata Menteri Brexit, David Davis dalam satu kenyataan.

"Oleh itu, kita akan menguatkuasakan Perkara 50 menjelang akhir bulan ini seperti yang dirancang dan menyampaikan hasil yang diusahakan demi kepentingan seluruh United Kingdom.

"Rang undang-undang itu kini akan dihantar kepada Ratu untuk kelulusan simbolik yang boleh diberikan seawal pagi Selasa, membolehkan May bersedia untuk memulakan tempoh rundingan dua tahun, seperti dinyatakan dalam Perkara 50, Perjanjian Lisbon EU. - Reuters

Berita Harian X