Ahad, 19 March 2017 | 9:26am

Jong-un sifat enjin baharu roket kejayaan besar

Kim Jong-Un. - Foto AFP
Kim Jong-Un. - Foto AFP

SEOUL: Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un menyifatkan kejayaan ujian enjin tujahan tinggi baharu dibangunkan di stesen pelancaran roket Tongchang-ri sebagai satu 'kelahiran baharu' industri roket, lapor media rasmi negara itu, hari ini.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, enjin itu bakal membantu negara itu mencapai keupayaan untuk melancarkan satelit bertaraf dunia. Ujian itu juga mungkin mendedahkan enjin baharu untuk roket peluru berpandu jarak jauh.

"Jong Un berkata, kejayaan yang dicapai dalam ujian terkini melakarkan satu peristiwa penting dalam sejarah. Beliau turut mengisytiharkan kelahiran baharu industri roket yang berpangkalan di Juche (ideologi tempatan Korea Utara)," lapor KCNA.

Menurut KCNA, Jong-un turut menekankan seluruh dunia bakal menjadi saksi peristiwa penting yang menjadi satu kejayaan besar. Pada masa sama pemimpin kuku besi itu turut mengesahkan Utara beradap pada tahap bersedia untuk melancarkan ujian peluru berpandu balistik rentas benua.

Susulan tindakan Utara, Amerika Syarikat (AS) dan China berikrar untuk bekerja sama bagi memastikan negara itu 'mengubah haluan' dan menghentikan program senjatanya, selepas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson mengadakan pertemuan dengan China, semalam.

Reuters

Berita Harian X