Jumaat, 24 March 2017 | 1:56pm

Brexit tidak jejas EU: Merkel

ANGELA Merkel. - Foto EPA
ANGELA Merkel. - Foto EPA

BERLIN: Canselor Jerman, Angela Merkel tidak khuatir lebih banyak negara akan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), ketika pemimpin kesatuan itu bersedia menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya, esok.

Merkel berkata demikian kepada akhbar Jerman, beberapa hari menjelang tarikh Britain mengemukakan permohonan untuk keluar daripada kesatuan itu.

Rabu ini, Perdana Menteri Britain, Theresa May akan melancarkan tarikh bermula hitungan dua tahun untuk negara itu keluar dari EU atau Brexit.

Ditanya sama ada beliau khuatir ada negara lain akan keluar dari blok itu, Merkel berkata kepada Passauer Neue Presse: "Tidak.

"Negara anggota secara individu mempunyai idea berbeza bagaimana untuk membentuk masa depan mereka, tetapi secara keseluruhannya adalah jelas, lebih banyak kerjasama".

Beliau berkata, antara isu yang memerlukan kerjasama itu ialah pertahanan, kawalan terhadap sempadan di luar EU, dasar ekonomi dan usaha menentang militan Islam.

Merkel berkata, penangguhan permohonan bagi proses pelaksanaan Brexit oleh May tidak akan menjejaskan persidangan sempena ulang tahun ke-60 EU. - Reuters

Berita Harian X