Rabu, 29 March 2017 | 10:13pm

Bot karam, 146 pendatang dikhuatiri lemas

KIRA-KIRA 146 pendatang dikhuatiri hilang apabila bot yang mereka naiki terbalik selepas meninggalkan Libya. - Foto fail Reuters
KIRA-KIRA 146 pendatang dikhuatiri hilang apabila bot yang mereka naiki terbalik selepas meninggalkan Libya. - Foto fail Reuters

ROME: Kira-kira 146 pendatang asing dikhuatiri hilang apabila bot yang mereka naiki karam sejurus selepas meninggalkan Libya.

Seorang lelaki warga Gambia yang terselamat daripada tragedi itu berkata, beliau diselamatkan kapal tentera Sepanyol yang menyertai Operasi Sophia yang dilancarkan Kesatuan Eropah (EU) bagi membanteras penyeludup sebelum dibawa ke Pulau Lampedusa di Itali.

"Bot terbabit meninggalkan Sabratha di barat Libya bersama lima kanak-kanak dan beberapa wanita hamil.

"Kebanyakan penumpang adalah rakyat Nigeria, Mali dan Gambia. Bot itu mula karam selepas beberapa jam berlepas tetapi saya berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tong minyak," kata lelaki itu kepada anggota Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang melawatnya di hospital di Lampedusa.

Laporan yang diterima Pertubuhan Pendatang Antarabangsa (IOM) menyatakan bahawa lelaki berkenaan ditemui secara tidak sengaja oleh kapal tentera Sepanyol yang kemudian membawanya ke perairan Itali.

IOM menganggarkan, sekurang-kurangnya 590 pendatang maut atau hilang di sepanjang perairan Libya sejak awal tahun, termasuk kes yang baru dilaporkan ini.

Pihak berkuasa Itali pula memberitahu, mereka merekodkan kedatangan lebih daripada 23,000 pendatang di perairan negara berkenaan sepanjang suku pertama tahun ini. - AFP

Berita Harian X