Sabtu, 1 April 2017 | 5:14pm

Bakar bangunan Kongres marahkan Presiden

PENUNJUK perasaan yang berang memecah masuk ke bangunan Kongres, menggeledah pejabat penggubal undang-undang negara dan menyalakan api. - Foto AFP
PENUNJUK perasaan yang berang memecah masuk ke bangunan Kongres, menggeledah pejabat penggubal undang-undang negara dan menyalakan api. - Foto AFP

ASUNCION, Paraguay: Senator Paraguay meluluskan satu undang-undang yang dipertikaikan, hari ini dengan membenarkan Presiden negara itu bertanding semula.

Tindakan itu menyebabkan penunjuk perasaan yang berang memecah masuk ke bangunan Kongres, menggeledah pejabat penggubal undang-undang negara dan menyalakan api.

Presiden berhaluan kanan, Horacio Cartes mahu melaksanakan reformasi perlembagaan untuk membolehkan beliau bertanding lagi dalam Pilihan Raya 2018, selepas penggalnya tamat.

Sekutu beliau di dewan tinggi badan perundangan itu meluluskan undang-undang berkenaan, hari ini tanpa menghiraukan pembangkang yang mendakwa undang-undang itu membuka ruang untuk pemerintahan kejam.

Sambil melaungkan 'Tiada kekejaman lagi!' beratus-ratus penunjuk perasaan bertembung dengan polis rusuhan dan memecah masuk ke bangunan Kongres, memecahkan pintu masuk dan pagar serta tingkap.

Sebaik di dalam, penunjuk perasaan merosakkan pejabat senator yang menyokong reformasi itu dan kemudian mencetuskan kebakaran.

Bomba berkata, sejumlah 30 penunjuk perasaan dan polis cedera dalam kekecohan itu. - AFP

Berita Harian X