Isnin, 10 April 2017 | 1:42pm

Serangan Daesh di Mesir kerana tertekan

KEJADIAN pengeboman gereja di Tanta. - Foto AFP
KEJADIAN pengeboman gereja di Tanta. - Foto AFP

KAHERAH: Dua insiden pengeboman gereja di Mesir memberi gambaran kumpulan militan Daesh kini semakin terdesak, susulan tekanan berterusan di Iraq dan Syria, kata penganalisis.

Sekutu kumpulan pengganas itu di Mesir itu mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di Tanta dan Iskandariah, di Delta Nil, Ahad lalu.

Sebelumnya mereka lebih tertumpu di Semenanjung Sinai dan sudah membunuh beratus-ratus polis dan tentera, setakat ini.

Namun, Daesh belum menguasai beberapa kawasan utama di Mesir, berbanding Iraq dan Syria, selain kehilangan beberapa pemimpin kanan dalam serangan oleh tentera kerajaan beberapa bulan lalu.

Sebelum ini Daesh pernah menyerang penduduk Kristian Koptik Mesir, namun serangan ke atas golongan minoriti itu semakin meningkat sejak Disember dengan satu insiden pengeboman di Kaherah yang membunuh 29 orang.

Di Sinai, militan Daesh membunuh tujuh penganut Kristian Koptik pada Januari dan Februari lalu sehingga memaksa berpuluh-puluh keluarga Kristian kediaman mereka yang bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza.

"Daesh dan penyokongnya di dalam talian memperkenalkan konsep mazhab lebih radikal kepada pengganas Mesir, sejak pengeboman Disember lalu," kata Mokhtar Awad, felo penyelidik Program Extremisme di Universiti George Washington,

Pengeboman Disember lalu di sebuah gereja bersebelahan dengan kerusi Pope Koptik menunjukkan perubahan taktik Daesh.

"Hanya selepas Disember 2016, Daesh memulakan kempen sistematik menyasarkan penganut Kristian Koptik di Mesir," kata Jantzen Garnett, pakar mengenai pengganas dari firma penganalisis, Navanti Group.

"Daesh kian tertekan di Iraq dan Syria dan kini melakukan serangan besar di tempat lain dalam percubaan merangsang moral dan merekrut pejuang baharu," katanya. - AFP

Berita Harian X