Sabtu, 15 April 2017 | 7:44am

Delta Air Lines naikkan jumlah pampasan

SYARIKAT penerbangan Delta Air Lines membenarkan kakitangannya menawarkan ganti rugi AS$9,950 (RM43,735) kepada pelanggan untuk menyerahkan tempat duduk dalam kes lebihan tempahan. - Foto AP
SYARIKAT penerbangan Delta Air Lines membenarkan kakitangannya menawarkan ganti rugi AS$9,950 (RM43,735) kepada pelanggan untuk menyerahkan tempat duduk dalam kes lebihan tempahan. - Foto AP

ATLANTA: Syarikat penerbangan Delta Air Lines membenarkan kakitangannya menawarkan ganti rugi AS$9,950 (RM43,735) kepada pelanggan untuk menyerahkan tempat duduk dalam kes lebihan tempahan.

Ia bertujuan mengelakkan kekecohan seperti yang berlaku kepada syarikat United Airlines apabila seorang penumpang diheret keluar dari pesawat itu.

Dalam memo dalaman yang diperoleh The Associated Press semalam, Delta Air Lines berkata, ejen di pintu masuk boleh menawarkan sehingga AS$2,000 (RM8,790), meningkat daripada jumlah maksimum sebanyak AS$800 (RM3,516) sebelum ini.

Penyelia pula boleh menawarkan sehingga AS$9,950 (RM43,753), berbanding AS$1,350 (RM5,933).

United menilai semula dasarnya, termasuk insentif kepada pelanggan, dan akan mengumumkan sebarang tindakan menjelang 30 April ini, kata jurucakapnya. Syarikat berkenaan tidak mendedahkan had ganti rugi ketika ini.

Syarikat penerbangan lain berkata, mereka turut meneliti dasar masing-masing.

American Airlines mengemas kini peraturannya dengan berkata, penumpang yang sudah berada dalam pesawat tidak akan diarah keluar untuk memberi tempat duduk kepada orang lain.

Apabila tiada tempat duduk mencukupi, syarikat penerbangan selalunya meminta sesiapa yang rela menyerahkan kerusi mereka dengan menawarkan baucar perjalanan, kad hadiah atau wang tunai.

Tahun lalu, Delta Air Lines mencatatkan lebih ramai penumpang sukarela menyerahkan kerusi masing-masing berbanding syarikat penerbangan lain, sebahagiannya kerana ia memberi pampasan lebih banyak berbanding yang lain. - AP

Berita Harian X