Rabu, 19 April 2017 | 2:42pm

Moreno sah Presiden Ecuador

PEGAWAI-PEGAWAI Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) mengambil bahagian dalam pengiraan semula undi pusingan kedua pilihan raya presiden terakhir di Quito, Ecuador. - Foto EPA
PEGAWAI-PEGAWAI Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE) mengambil bahagian dalam pengiraan semula undi pusingan kedua pilihan raya presiden terakhir di Quito, Ecuador. - Foto EPA

QUITO: Kiraan semula hampir 1.3 juta undi dalam pilihan raya presiden Ecuador menunjukkan tiada perbezaan ketara berbanding keputusan sebelumnya yang memberi kejayaan tipis kepada Lenin Moreno.

Moreno, pengganti dipilih Rafael Correa, bekas Presiden Ecuador, mengalahkan bekas pegawai bank Guillermo Lasso dengan margin lebih besar berbanding keputusan sebelumnya namun masih kurang tiga peratus mata, menurut kiraan kira-kira 10 peratus undian.

"Kiraan semula sudah berakhir dan ia mengesahkan keputusan," kata Presiden Majlis Pilihan Raya Kebangsaan Juan Pablo Pozo.

Pemimpin pembangkang, Lasso menggesa kiraan semula semua peti undi dalam pilihan raya 2 April lalu, memetik dakwaan berlaku penipuan, namun pihak berkuasa hanya bersetuju mengira semula undian dipertikai.

Lasso enggan mengambil bahagian dalam kiraan semula itu, menggelarnya tidak lebih daripada pertunjukan untuk mengesahkan satu proses yang tidak telus.

Pilihan raya presiden negara Andean itu diperhati rapat di Amerika Latin sebagai petunjuk jika rantau itu akan terus menukar haluan kanan selepas kejayaan konservatif terbaru di negara termasuk Peru dan Argentina.

Ia juga dianggap sebagai semakan ke atas 'Revolusi Rakyat' Correa. - AP

Berita Harian X