Ahad, 23 April 2017 | 11:42pm

American Airlines gantung pekerja gaduh dengan penumpang

AMERICAN Airlines.- Foto AFP
AMERICAN Airlines.- Foto AFP

SAN FRANCISCO: American Airlines menggantung kakitangannya selepas satu rakaman video yang menunjukkan perbalahan di dalam sebuah pesawat membabitkan anak kapal, beberapa penumpang dan seorang wanita yang membawa anak kecil tersebar.

Video itu menunjukkan seorang kakitangan penerbangan berkenaan dengan ganas mengambil kereta sorong dari wanita itu, memukulnya hingga hampir terkena anaknya, kata seorang pengguna Facebook, Surain Adyanthaya dalam satu entri mengiringi video yang dimuat naik ke laman web pada Jumaat lalu.

Kurang dua minggu lalu, seorang doktor berusia 69 tahun, David Dao, dimasukkan ke hospital selepas polis penerbangan Chicago mengheretnya dari sebuah pesawat United Airlines hingga mencetuskan kemarahan antarabangsa dan menjadi mimpi ngeri buat unit perhubungan awam penerbangan itu.

American Airlines sedang menyiasat kejadian dalam penerbangan 591 dari San Francisco ke Dallas sebelum ia berlepas pada Jumaat lalu, kata seorang jurucakap syarikat penerbangan, Leslie Scott.

Kejadian dikatakan tercetus akibat salah faham sama ada wanita itu boleh membawa kereta sorong ke dalam penerbangan itu, kata Scott.

Saksi berkata, kakitangan penerbangan lelaki itu memberitahu wanita berkenaan dia tidak boleh menyimpan kereta sorong di tempat duduknya di belakang pesawat, lapor Tribune Media.

Mereka berkata wanita itu cuba mencari ruang untuk menyimpannya apabila kejadian berlaku, katanya.

Adyanthaya tidak mengulas lanjut ketika diminta berbuat demikian. - Reuters

Berita Harian X