X
Isnin, 8 Mei 2017 | 8:49pm

200 pendatang dikhuatiri lemas

PENDATANG haram, yang diselamatkan oleh pengawal pantai Libya di Laut Mediterranean di luar pantai Libya, tiba di Pangkalan TLDM di Tripoli. - Foto AFP
PENDATANG haram, yang diselamatkan oleh pengawal pantai Libya di Laut Mediterranean di luar pantai Libya, tiba di Pangkalan TLDM di Tripoli. - Foto AFP

TRIPOLI: Lebih 200 pendatang dikhuatiri maut di Mediterranean hujung minggu lalu, menurut keterangan mangsa terselamat, dan 11 mayat, termasuk seorang bayi, terdampar di pantai Libya.

Kira-kira 7,500 diselamatkan di pantai negara itu sejak Khamis lalu, kata pengawal pantai Itali dan Libya.

Dua kumpulan mangsa terselamat memberitahu ratusan pendatang lemas apabila bot getah yang dinaiki mereka mula kempis sebelum pasukan penyelamat tiba.

Lebih 60 dikhuatiri meninggal dunia dan tiga mayat ditemui pada Sabtu, kata mangsa terselamat yang dibawa ke Sicily kelmarin kepada pengawal pantai Itali.

Bot yang meninggalkan Libya membawa kira-kira 120 pendatang.

Ada beberapa percanggahan dalam bilangan pendatang. Berdasarkan temubual dengan beberapa mangsa terselamat di Pozzallo, Itali, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan jumlah yang terkorban melebihi 80.

Dalam perkembangan berasingan, pengawal pantai Libya menyelamatkan tujuh mangsa hujung minggu lalu yang berada dalam bot yang sesak dengan 170 pendatang.

Agensi bantuan, International Medical Corp, yang memberikan rawatan kepada mereka, juga mengesahkan keterangan itu.

"Kami menyelamatkan tujuh pendatang kelmarin, iaitu enam lelaki dan seorang wanita.

"Menurut mangsa, ada 170 orang dalam bot yang karam kerana melebihi muatan," kata komander pengawal pantai di bandar raya Zawiya, Omar Koko.

Antara yang hilang ialah lebih 30 wanita dan sembilan kanak-kanak, katanya. - REUTERS

Berita Harian X